Friday 7 September 2012

Sabar Menanti Rangka Tindakan Kajian Semula Pendidikan Nasional


Seluruh rakyat Malaysia khususnya warga pendidik sudah semestinya berdebar menanti Rangka Tindakan Kajian Semula Pendidikan Nasional yang bakal diumumkan pada 11 Sept nanti. Dijangkakan YAB Perdana Menteri sendiri akan melancarkan rangka tindakan tersebut. Rangka Tindakan Pendidikan Nasional dijangka akan merubah beberapa aspek yang berkaitan dengan sistem pendidikan nasional. Ianya dijangkakan tidak hanya melibatkan aspek kurikulum, P&P atau perguruan sahaja tetapi juga akan turut melibatkan sistem pengurusan, pentadbiran dan keseluruhan perjalanan sistem pendidikan negara. Sememangnya semua warga pendidik menanti pengumuman ini kerana sistem pendidikan sekarang dikatakan sudah tidak secocok dengan era globalisasi dan kemajuan pendidikan moden. 

Sehingga kini belum terdengar bentuk rangka yang akan dilancarkan, namun daripada apa yang telah disebutkan oleh YAB TPM yang juga Menteri Pelajaran baru-baru ini, transformasi kurikulum seperti menilai mata pelajaran Bhs Inggeris dan Sejarah adalah menjadi agenda utama rangka tindakan semula pendidikan nasional. Selain itu, turut menjadi tumpuan ialah penambahbaikan sistem pengurusan pendidikan yang mungkin akan melibatkan penstrukturan semula semua pejabat-pejabat pelajaran daerah. Dikatakan kuasa PPD akan ditambah bagi membantu melaksanakan semua program pendidikan nasional. Sejauh mana kuasa dan penstrukturan ini akan dilakukan, semua pihak perlu menunggu 11 Sept.

Begitu juga sistem peperiksaan yang menjadi bualan hebat masyarakat pada hari ini, apakah akan berlaku perubahan secara total? Walaupun PBS sudah mula dilaksanakan secara berperingkat, apakah ianya akan dipertingkat dan diperkemaskan agar selaras dengan kehendak masyarakat yang masih terikat pemikiran mereka dengan sistem peperiksaan? Di samping itu, warga pendidik juga sudah pasti menunggu apakah pelan yang dirangka untuk peningkatan profesional seperti mengurangkan beban tugas guru, kenaikan pangkat, sistem P&P, kedudukan guru yang mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi dan peluang-peluang yang lain. 

Bagi KKGUMB, hasrat untuk melihat Pendidikan Islam dimartabatkan amat dinantikan. Kita amat mengharapkan Pendidikan Islam bukan menjadi satu subjek tempelan semata-mata tetapi menjadi subjek utama yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Masalah gejala sosial dan kes jenayah sedikit sebanyak menuntut pihak tertentu untuk melihat kepentingan P.Islam dalam mendidik generasi akan datang supaya lebih berakhlak dan bermoral tinggi. Sejajar dengan keputusan pihak tertinggi yang mahukan kurikulum sejarah dinilai semula agar semangat patriotik dapat ditanam dalam generasi pelajar, P.Islam juga perlu diperkemas dan dipermantapkan agar generasi pelajar pada hari ini dididik untuk menjadi generasi yang lebih berakhlak pada masa akan datang. Penilaian bukan sahaja perlu melibatkan kurikulum tetapi juga memberi latihan berterusan kepada guru P.Islam selain meletakkan P.Islam sebagai subjek peperiksaan di peringkat rendah lagi. Di samping itu, pengambilan GPI perlu diteruskan termasuklah pengambilan guru j-QAF yang dilihat memberi impak besar pelaksanaannya dalam sistem pendidikan kebangsaan  hari ini. Peluang kenaikan pangkat dalam kalangan GPI juga mesti diberi perhatian dan diharapkan tiada diskriminasi dalam hal ini. Apa pun harapan kita, hanya pihak atasan yang akan memutuskan segala-galanya. Kita semua pasti ternanti-nanti 11 Sept 2012!