Tuesday 6 November 2012

Terima Kasih Atas Sokongan!

Assalamualaikum! Sudah lama blog ini tidak dikemaskini. Bukan kerana tiada masa tetapi tiada isu hangat yang boleh diketengahkan. Dalam tempoh dua bulan ini banyak program yang telah dilalui oleh AJK KKGUMB sesi 2012-14. Antaranya ialah mesyuarat bulanan, taklimat keahlian, mesyuarat agung kebangsaan, mesyuarat bersama jabatan, majlis bersama mantan-mantan presiden, perjumpaan dengan menteri, pengarah dan ketua sektor serta kempen keahlian di beberapa daerah di negeri Kedah.


Antara perkara terpenting ialah berlakunya perubahan pucuk pimpinan di mana Saudara Fadhli Jusoh dari KKGUMB Kelantan telah dipilih sebagai Presiden KKGUMB Kebangsaan yang baharu menggantikan tempat Us Malek Hasan yang telah melepaskan jawatannya. Mesyuarat Agung tersebut turut dihadiri oleh AJK KKGUMB Kedah dan berbagai isu telah dibawa ke mesyuarat tersebut untuk dikemukakan kepada pihak atasan. Insya Allah selepas ini KKGUMB akan terus mara ke hadapan dengan sokongan guru-guru ugama daripada seluruh negara.

Bercakap mengenai sokongan guru, saya amat terharu dengan sambutan rakan-rakan guru j-QAF yang sudi menjadi ahli KKGUMB dan seterusnya menyatakan sokongan untuk membantu kami AJK KKGUMB melaksanakan tugas dengan cemerlang. Terima kasih tak terhingga kepada rakan-rakan guru j-QAF dari Kubang Pasu, Kota Setar, Kuala Muda/Yan dan Pendang. Cuma belum daerah Kulim, Baling, Pdg Terap dan Langkawi, saya belum sempat menjenguk rakan-rakan guru. Insya Allah, awal tahun hadapan akan cuba diatur agar ramai lagi rakan-rakan guru menyertai kesatuan ini. Semakin ramai ahli semakin gagah kita kerana kekuatan kesatuan bertunjangkan kepada bilangan keahliannya. Insya Allah kesatuan akan cuba memperjuangkan sebaik mungkin isu-isu yang membelenggu GPI, dan j-QAF.

Baru-baru ni perjumpaan dengan pihak JPN, banyak isu yang dikemukakan antaranya masalah guru j-QAF, kenaikan pangkat guru ugama, masalah opsyen Bahasa Arab, masalah penempatan dan pertukaran dan sebagainya. Banyak impak positif hasil pertemuan sama ada dalam MBJ mahu pun perjumpaan tidak rasmi. Begitu juga dengan pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2013-2025 turut diberi perhatian serius oleh pihak kesatuan. Cadangan penambahbaikkan yang melibatkan P.Islam perlu dinilai dan diletakkan di tempat yangsewajarnya. Justeru, sekiranya rakan-rakan guru mempunyai isu yang perlu diketengahkan, tolong masukkan dalam peti mesej FB KKGUMB. Insya Allah akan cuba dibawa ke peringkat atasan. Akhir sekali, harapan saya agar kita semua sentiasa bersatu dan berpadu agar matlamat untuk memperkasakan P.
Islam dan GPI akan tercapai.

 Perwakilan ke Mesyuarat Agung KKGUMB Kebangsaan di Cyberjaya
 Tuan Timbalan Pengarah tekun mendengar isu yang dibawa oleh KKGUMB Kedah
 Mesyuarat Bersama Jabatan (MBJ) turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi JPN
 Mesyuarat AJK KKGUMB Kedah yang sentiasa diberi perhatian serius demi kebaikan ahli
 Us Bahruddin, mantan pengerusi KKGUMB 1960an-70an
Presiden Baru KKGUMB Kebangsaan sedang menyampaikan ucapan dengan penuh semangat 
Kempen keahlian di daerah Kota Setar

Friday 7 September 2012

Sabar Menanti Rangka Tindakan Kajian Semula Pendidikan Nasional


Seluruh rakyat Malaysia khususnya warga pendidik sudah semestinya berdebar menanti Rangka Tindakan Kajian Semula Pendidikan Nasional yang bakal diumumkan pada 11 Sept nanti. Dijangkakan YAB Perdana Menteri sendiri akan melancarkan rangka tindakan tersebut. Rangka Tindakan Pendidikan Nasional dijangka akan merubah beberapa aspek yang berkaitan dengan sistem pendidikan nasional. Ianya dijangkakan tidak hanya melibatkan aspek kurikulum, P&P atau perguruan sahaja tetapi juga akan turut melibatkan sistem pengurusan, pentadbiran dan keseluruhan perjalanan sistem pendidikan negara. Sememangnya semua warga pendidik menanti pengumuman ini kerana sistem pendidikan sekarang dikatakan sudah tidak secocok dengan era globalisasi dan kemajuan pendidikan moden. 

Sehingga kini belum terdengar bentuk rangka yang akan dilancarkan, namun daripada apa yang telah disebutkan oleh YAB TPM yang juga Menteri Pelajaran baru-baru ini, transformasi kurikulum seperti menilai mata pelajaran Bhs Inggeris dan Sejarah adalah menjadi agenda utama rangka tindakan semula pendidikan nasional. Selain itu, turut menjadi tumpuan ialah penambahbaikan sistem pengurusan pendidikan yang mungkin akan melibatkan penstrukturan semula semua pejabat-pejabat pelajaran daerah. Dikatakan kuasa PPD akan ditambah bagi membantu melaksanakan semua program pendidikan nasional. Sejauh mana kuasa dan penstrukturan ini akan dilakukan, semua pihak perlu menunggu 11 Sept.

Begitu juga sistem peperiksaan yang menjadi bualan hebat masyarakat pada hari ini, apakah akan berlaku perubahan secara total? Walaupun PBS sudah mula dilaksanakan secara berperingkat, apakah ianya akan dipertingkat dan diperkemaskan agar selaras dengan kehendak masyarakat yang masih terikat pemikiran mereka dengan sistem peperiksaan? Di samping itu, warga pendidik juga sudah pasti menunggu apakah pelan yang dirangka untuk peningkatan profesional seperti mengurangkan beban tugas guru, kenaikan pangkat, sistem P&P, kedudukan guru yang mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi dan peluang-peluang yang lain. 

Bagi KKGUMB, hasrat untuk melihat Pendidikan Islam dimartabatkan amat dinantikan. Kita amat mengharapkan Pendidikan Islam bukan menjadi satu subjek tempelan semata-mata tetapi menjadi subjek utama yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Masalah gejala sosial dan kes jenayah sedikit sebanyak menuntut pihak tertentu untuk melihat kepentingan P.Islam dalam mendidik generasi akan datang supaya lebih berakhlak dan bermoral tinggi. Sejajar dengan keputusan pihak tertinggi yang mahukan kurikulum sejarah dinilai semula agar semangat patriotik dapat ditanam dalam generasi pelajar, P.Islam juga perlu diperkemas dan dipermantapkan agar generasi pelajar pada hari ini dididik untuk menjadi generasi yang lebih berakhlak pada masa akan datang. Penilaian bukan sahaja perlu melibatkan kurikulum tetapi juga memberi latihan berterusan kepada guru P.Islam selain meletakkan P.Islam sebagai subjek peperiksaan di peringkat rendah lagi. Di samping itu, pengambilan GPI perlu diteruskan termasuklah pengambilan guru j-QAF yang dilihat memberi impak besar pelaksanaannya dalam sistem pendidikan kebangsaan  hari ini. Peluang kenaikan pangkat dalam kalangan GPI juga mesti diberi perhatian dan diharapkan tiada diskriminasi dalam hal ini. Apa pun harapan kita, hanya pihak atasan yang akan memutuskan segala-galanya. Kita semua pasti ternanti-nanti 11 Sept 2012!

Wednesday 29 August 2012

Jangan tergelincir dari landasan!

Assalamualaikum! Selesai sudah kita berhari raya. Alhamdulillah, umat Islam di negara ini dapat menyambutnya dalam suasana aman dan damai. Bagi guru-guru ugama, cuti raya telah dimanfaatkan sebaiknya sama ada dengan pulang ke kampung mahu pun beraya di rumah sendiri. Aktiviti keagamaan tetap tidak ditinggalkan. Sebahagian guru ugama tetap bertugas sebagai imam, khatib atau menjadi khalifah di majlis-masjlis raya. Apatah lagi, cuti raya kali ini, ramai sanak saudara dan rakan taulan mengambil kesempatan mengadakan kenduri kahwin. Sudah tentu ramai dalam kalangan guru ugama yang terlibat menjaya dan meraikannya.

Hakikatnya, tanggungjawab sebagai guru ugama amat berat. Bukan sekadar mengajar murid di sekolah, mengisi data, melatih murid bersukan, membantu pentadbiran sekolah, PPD, JPN dan sebagainya tetapi juga berperanan dalam masyarakat. Jelas sekali melalui beberapa blog yang disinggahi, ramai rakan-rakan ustaz atau ustazah memaklumkan jadual harian mereka yang amat ketat seperti Akhi Mizi di Langkawi yang semakin popular dalam kalangan masyarakat setempat di Ulu Melakan. Ringkasnya bagi mereka yang sedar mengenai tanggungjawab sebagai seorang guru ugama senanglah masyarakatnya. Namanya pun harum, sentiasa dibaik sangka dan sukar untuk mendengar kecaman atau kejian terhadap mereka,

Namun sebaliknya, masih ramai dalam kalangan guru ugama yang langsung tidak berkeinginan untuk terjun dalam masyarakat. Sudahlah di sekolah banyak kerja suka ditangguhkan, suka menolak tugas yang diberi, tidak menunjukkan komitmen dalam tugas, dengan masyarakat pun tak diendahkan. Balik rumah pinti ditutup rapat, seolah-oleh tiada jiran disebelahnya, didepannya atau dibelakangnya. Surau dalam taman atau kampungnya pun tak pernah dijenguk. Masjid terpaksa juga dimasukinya pada hari Jumaat. Kenduri pun tak dihadirinya. Akhurnya bukan namanya yang buruk, dikeji atau dicaci tapi nama ustaz yang naik. Kata orang, ustaz? boleh ka dia buat kerja? bagus sangat ka? Ustaz pun lebih kurang macam orang lain juga kadang-kadang teruk lagi. Inilah bahananya bila seorang ustaz buat masalah, akhirnya ustaz yang lain terpaksa menanggung akibatnya.  Ustaz ni bila buat yang buruk memang orang akan nampak, tapi buat yang baik orang akan kata, biasa la, dia tu kan ustaz.

Kes-kes guru ugama bermasalah sudah tak mampu lagi saya dengari, sehingga naik muak jadinya. Yang peliknya mereka ni pandai berhujah dan berdebat. Kalau ajak bersembang memang nampak alim sungguh tapi bab buat kerja di sekolah dan kemasyarakatan hanya Allah saja yang tahu. Mereka ni kalau diajak berjuang jauh sekali tapi kalau nakkan habuan, mereka yanga kan ke hadapan. Inilah senario yang kesatuan sering hadapi. Sukar untuk mencari mereka yang benar-benar ikhlas dalam mengajar, bekerja, berkhidmat atau membantu. Kesemuanya nakkan habuan. Susahlah. Susah nak berkorban, susah nak berjihad, susah nak berika idea apatah lagi nak sumbangkan wang ringgit. Masing-masing ada kepentingan. Sebab itulah dilihat guru ugama sukar sangat nak bersatu. Hari ini perjawatan guru ugama menjadi perjawatan yang paling banyak diluluskan oleh pihak kerajaan. Namun impaknya kepada pengislahan masyarakat masih statik. Mengapa terjadi sedemikian? Itulah kerana ramai yang tak berfungsi....... pergi sekolah hanya cukup syarat, balik rumah tutup pintu, macamana murid hendak berakhlak dan masyarakat hendak berluhur.

Maka di kesempatan bulan yang mulia, berikrarlah, berazamlah untuk terus berubah. Bagi mereka yang sudah melalukan segalanya sama ada di sekolah atau pun di rumah, istiqamahlah, bagi mereka yang belum, cukuplah, memadailah dengan perangai lama, dah sakit telinga ni mendengar orang mengkritik kelemahan kita, berubahlah dengan kadar segera, muhasabahlah, kerana mereka yang tahu ilmu ugama amat berat bebanannya dan mereka akan ditanya di hadapan Allah apakah telah dilaksanakan tanggungjawab di atas muka bumi ini?

Berjuanglah mengikut landasan yang telah ditetapkan. Jangan biarkan diri kita tergelincir. Jika tergelincir, cepat-cepat perbetulkan balik agar berada semua di atas landasan. Jagailah imej guru ugama. Jangan biarkan mereka yang bukan dalm kalangan kita membawa cerita yang bukan-bukan mengenai kita. Jangan biarkan lagi imej guru ugama dihina dan dicaci, diherdik kerana kita adalah idola masyarakat!

Wednesday 25 July 2012

Mesyuarat Khas AJK Kesatuan Bersama Sektor P.Islam





24 Julai- Satu mesyuarat khas antara pihak kesatuan dengan Sektor P.Islam berjaya diadakan di bilik mesyuarat blok B JPN Kedah. Hampir semua AJK kesatuan hadir, Manakala pihak SPI, selain Ketua Sektor, Tn Hj Abd Aziz, turut bersama ialah KPP dan semua ketua-ketua unit. Perbincangan yang diadakan ini adalah yang pertama kali sejak AJK KKGUMB Kedah sessi 2012/14 mula melaksanakan tugas Jun lepas. Perbincangan adalah berkaitan dengan isu-isu GPI, kurikulum, j-QAF, SABK dan juga SAN. Insya Allah kesatuan akan cuba membawa isu-isu yang perlu diketengahkan ke peringkat atasan agar segala isu yang dibagkitkan dapat diatasi. Pihak kesatuan juga sempat mengadakan majlis berbuka bersama pihak SPI di majlis tersebut dan majlis meraikan mantan pengerusi KKGUMB Kedah, Tn Hj Malek Hasan. Diharapkan perjumpaan antara KKGUMB dengan SPI dapat diteruskan demi memastikan hubungan silaturrahim dapat diperkukuhkan selain dapat bertukar-tukar pandangan mengenai isu GPI, PI, j-QAF dan B.Arab.

Friday 20 July 2012

Ziarah Kebajikan!


18 Julai 2012- Barisan AJK KKGUMB Kedah sempat menziarahi seorang ahli KKGUMB yang diserang strok iaitu Us Abd Razak di kediaman beliau di Jitra. Lawatan ini adalah salah satu program kebajikan yang diatur oleh kesatuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara barisan kepimpinan dengan ahli selain dapat mengetahui keadaan ahli yang sedang uzur. Us Abd Razak adalah mantan Penyelia P.Islam di PPD Langkawi dan telah diserang strok pada Sept tahun lalu. Alhamdulillah, keadaannya nampak beransur pulih walaupun masih belum boleh bercakap. Dalam kunjungan itu juga, pihak kesatuan  turut memberi sedikit sumbangan kepada beliau bagi meringankan beban beliau sekeluarga menjelang ketibaan Ramadan 1433H.

Thursday 5 July 2012

Borang Keahlian Kesatuan & AJK

http://www.scribd.com/doc/99183518

Sila muat turun borang di alamat di atas. Isikan borang tersebut, kepilkan bersama wang RM 10.00, satu salinan kad pengenalan dan sekeping penyata gaji (1 bulan saja) dan beri kepada mana-mana pegawai P.Islam di PPD atau JPN. Tuan-tuan juga boleh berhubung dengan AJK KKGUMB berikut untuk mendapatkan maklumat lanjut dan boleh menyampaikan isu semasa. Boleh juga serah borang kepada mereka:


PENGERUSI

Haji Mohamad Rushdan Bin Haji Azizan
Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri  Kedah,05460 Alor Setar,
Kedah Darul Aman.
      email : casab93@yahoo.com

TIMBALAN PENGERUSI

Haji Zulkifli bin Ghozali
Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri  Kedah,05460 Alor Setar,
Kedah Darul Aman.
        email : zulghozali@yahoo.com.my

SETIAUSAHA

En. Abdul Mutalib bin Md Hj. Md Saad
Pejabat Pelajaran Daerah Kulim Bandar Baharu, 09000 Kulim, Kedah Darul Aman.
        email: mutalibppdkbb@gmail.com

PENOLONG SETIAUSAHA

En.Mohd Isa Bin Hamid
SK Tanjung Pari, Sik, Kedah Darul Aman
Tel: 013 4364655        email: mohdjawi@gmail.com

BENDAHARI
Haji Ayob bin Saman(K.P:
SK Telaga Emas, 06400 Pokok Sena, Kedah Darul Aman..
       email: yobbinjai@yahoo.com


 

AHLI JAWATANKUASA


En. Jamal Abdul Nasir bin Abd Rahman
Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda/Yan, 08000 Sungai Petani. Kedah Darul Aman.
        email: pyagama.ppdkmy@gmail.com


En. Burhanurdin bin Hassan
SK Batu 8, 06010 Changlun,  Kedah Darul Aman.
       email: burhan.ppdkp@gmail.com


En.Md.Isa bin Md Ali
Pejabat Pelajaran Daerah Kubang Pasu, 06000 Jitra, Kedah Darul Aman.
        email: mdisa.ppdkp@gmail.com


Haji Abd. Haris bin Hj.Ibrahim
SMK Naka,06300 Kuala Nerang, Kedah Darul Aman.
        email: harizaba@gmail.com


Pn.Shopiah binti Mat Isa
SMK  Pulau Nyior , 06000 Jitra, Kedah Darul Aman.
        email: nami_mysara@yahoo.com


Pn.Napisah binti Salleh 
Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, 05460 Alor Setar, Kedah Darul Aman.
         email: napisah65@gmail.com


En. Abd. Somad bin Md  Don
SMK Agama Baling, 09100 Baling, Kedah Darul Aman.
        email: absmatmd@yahoo.com


En.Jamal bin Dato Husin
Pejabat Pelajaran Kota Setar,05460 Alor Setar, Kedah Darul Aman.
        email: jamal.ppdkotasetar@gmail.com



Wednesday 27 June 2012

Mesyuarat Kesatuan Bersama Pengarah


26 Jun- Mesyuarat Kesatuan-Kesatuan Pendidikan Negeri Kedah bersama  Pengarah Pelajaran telah berlangsung dengan jayanya semalam. Mesyuarat yang memakan masa hampir tiga jam itu telah membincangkan pelbagai isu pendidikan khususnya di negeri Kedah. Tuan Pengarah dalam ucapan aluannya amat berharap semua kesatuan pendidikan di negeri ini dapat bersama-sama membantu JPN untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang akademik. Dalam mesyuarat yang turut dihadiri oleh Tuan Timbalan Pengarah, semua Ketua sektor dan wakilnya telah mendengar pelbagai isu dan cadangan yang dibawa oleh wakil kesatuan. Antara isu yang dibawa ialah isu penstrukturan semula PPD, isu perlantikan Guru Besar, isu kekurangan pembantu makmal, isu pengisian data online yang semakin banyak, isu potongan cukai daripada gaji, isu guru j-QAF, data HRMIS, Pra Sekolah dan masalah perlantikan guru ganti. Alhamdulillah hasil maklum balas yang dikemukakan, Tuan Pengarah amat bersifat positif terhadap semua isu yang dibangkitkan. Isu yang boleh diselesaikan di peringkat JPN akan diselesaikan di JPN tetapi bagi isu tertentu, ianya akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. Semoga kerjasama antara kesatuan dengan pihak JPN akan berterusan dan berkekalan penuh harmoni demi kecemerlangan pendidikan Malaysia

Tuesday 19 June 2012

Mesyuarat Pra MBJ


19 Jun 2012- Alhamdulillah, wakil KKGUMB sempat menghadiri Mesyuarat pra MBJ di Pendang, semalam. KKGUMB diwakili oleh pengerusi dan bendahari. Lebih daripada 10 kesatuan lain hadir dalam mesyuarat berkenaan. Banyak isu-isu pendidikan yang telah dibincangkan dan isu yang sesuai akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. KKGUMB membawa beberapa isu untuk diketengahkan antaranya isu perlantikan guru GPI ke DG41, isu pengisian data, isu penempatan guru j-QAF dan isu  pengisian post guru besar. Insya Allah, selepas ini akan dibawa isu-isu yang baru pula. Dalam hal ini, KKGUMB amat mengharapkan bantuan ahli untuk menyampaikan isu yang relevan dengan perjuangan kesatuan ini.

Friday 15 June 2012

Kenderaanku Besar Tapi Sayang CCnya Kecil!!!


Assalamualaikum! Kepada semua Tuan-Tuan Guru, Guru-Guru P.Islam, Guru-Guru Bahasa Arab, Guru-Guru j-QAF, Guru-Guru KAFA dan semua rakan guru-guru ugama sekelian. 
Pertama sekali, saya memohon maaf kerana mengambil masa tuan/puan dan saudara/ri yang membaca tulisan ini sama ada melalui FB atau blog. Sesungguhnya saya ini hanyalah manusia biasa yang amat mengharapkan keredhaan Ilahi dalam mencapai kebahagiaan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Tiada apa yang ingin saya luahkan melainkan hanya untuk menyedarkan diri saya bahawa kita tidak boleh hidup berseorangan. Sebaliknya kita sentiasa saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Seorang guru perlu ada murid untuk mengajar, begitu jugalah seorang murid memerlukan guru untuk menuntut ilmu. Kehidupan seharian kita juga sedemikian rupa, sama ada kita ke pasar, bekerja di pejabat, melakukan aktiviti luaran dan sebagainya, kita sentiasa mengharapkan pihak yang lain tidak kiralah pihak tersebut adalah seorang manusia atau alamiah. Pendek kata, kita mesti mengharapkan pihak lain untuk memastikan aktiviti harian kita dilangsungkan. 

Kita juga amat berkeyakinan bahawa kita meletakkan pengharapan kepada Allah dalam setiap urusan yang kita laksanakan. Dalam melaksanakan sesuatu urusan, azam, usaha, berdoa dan tawakkal adalah tunjang kepada kejayaan sesuatu urusan tersebut. Sebaliknya, jika kita hanya berdoa tanpa berusaha sudah pastilah kejayaan yang ditunggu tidak akan tiba. Bagi mereka yang mempunyai aqidah yang mantap, keyakinan yang tinggi terhadap qada' dan qadar adalah petanda kuatnya iman seseorang kepada Allah SWT. Konsep qada' dan qadar mengajar kita, setiap  perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah Taala melalui -ilmuNya. Hanya ianya terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya yang lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat kepadaNya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.  

Usaha adalah satu bentuk ikhtiar, tindakan dan perbuatan yang boleh dilakukan oleh setiap manusia selama mana ianya tidak bertentangan dengan syariat Allah. Dalam konteks berpersatuan, organisasi yang tersusun dan sistematik adalah satu proses ke arah melaksanakan satu tindakan. Tanpa sebuah organisasi yang mantap dan kemas, sesebuah kesatuan atau persatuan tidak akan bergerak dan tidak akan mencapai matlamatnya. Justeru, pembentukan organisasi yang mantap dan berkesan perlu dibina agar sesebuah persatuan dapat melakukan tindakan dan ikhtiar bersesuaian dengan kehendak organisasi. Organisasi yang mantap perlu didokong oleh ahli yang pro aktif,  berfikiran positif dan berwawasan. Sesebuah organisasi akan memacu dengan lebih laju sekiranya mempunyai ahli yang ramai. Sebuah organisasi yang ramai adalah ibarat sebuah kereta yang mempunyai enjin atau cc yang lebih besar dan berkelajuan tinggi. Sebaliknya organisasi yang mempunyai ahli yang sedikit hanya akan menyebabkan ia akan tertinggal jauh sama seperti kenderaan kecil yang mempunyai cc kecil dan tidak berdaya saing di atas jalan raya.

Demikianlah yang terjadi kepada kesatuan guru ugama yang sama-sama kita dukungi pada hari ini. Kita mempunyai kenderaan yang besar tetapi sayangnya cc kita kecil. Bayangkan sebuah lori yang besar tetapi hanya mempunyai 600 cc sahaja, bagaimanakah pergerakannya? Guru ugama di Malaysia lebih 40,000 atau mewakili lebih 10% daripada jumlah keseluruhan guru di Malaysia. Jika dilihat dari sudut bilangan, sepatutnya, guru-guru ugama adalah peneraju kepada guru-guru yang lain. Tetapi ke mana perginya guru-guru ugama? Apakah guru-guru ugama tidak suka hidup  bermasyarakat? Apakah guru-guru ugama lebih suka berkhilwah? Apakah guru-guru ugama tidak suka mengambil pusing mengenai isu ummah? Sebenarnya tidak, guru ugamalah yang sentiasa berada di saf hadapan dalam masyarakat. Merekalah menjadi imam, merekalah yang menjadi khatib, merekalah yang menjadi contoh masyarakat. Kalau dilihat dalam konteks sekolah, merekalah yang mengajar P.Islam, mereka juga boleh mengajar BM, BI atau Math. Mereka juga melatih murid tilawah, hafazan, syarahan dan mereka jugalah melatih murid bermain bola sepak, bola jaring dan bersukan. Ringkasnya guru ugama adalah role model kepada guru lain kerana guru lain tidak boleh mengajar PI dan guru lain juga tidak boleh melatih aktiviti keagamaan.

Hakikatnya, guru ugama adalah seorang penjawat awam yang amat berpotensi untuk menjadi pentadbir, pengurus atau apa-apa sahaja tanggungjawab penting dalam sesebuah organisasi. Tetapi sayangnya berapa ramai dalam kalangan guru ugama yang menjawat jawatan penting. Dengan bilangan yang amat besar berbanding opsyen lain, tidak sampai 1% dalam kalangan guru ugama yang memegang jawatan penting. Itu pun di kebanyakan sekolah ugama. Ke mana pergi yang lainnya. Oleh kerana kita mempunyai kenderaan yang besar tetapi cc yang kecillah menyebabkan guru ugama hanya menjadi pengikut dan penurut. Isu GPI, j-QAf dan sebagainya, jika dibawa oleh pihak kesatuan hanya ditertawakan oleh pihak lain. Tanya mereka, berapa you punya cc? Kah!Kah!Kah!, mereka tertawa kerana kita malu nak menjawab. CC mereka besar sedangkan kenderaan mereka kecil. Mereka pantas bergerak. Kenderaan mereka sudah sampai di Putrajaya, kenderaan kita baru tiba di Sungai Petani. Agak-agaknya bilakah kita akan sampai. Semua tuntutan mereka telah dipenuhi, guru ugama? Kata guru ugama, semua itu adalah duniawi. Tetapi sedarkah kita, dunia itu jambatan akhirat. Usaha kita di dunia ini perlu diseimbangkan dengan usaha kita merebut kebahagiaan di akhirat. Hari-hari kita berdoa memohon kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kebahagiaan, kejayaan dan kemenangan tidak datang dengan sendiri sebaliknya perlu diusaha, dicari dan disusuli dengan tindakan. 

Namun sedihnya, guru ugama masih terus bersifat pasif dalam usaha memartabatkan guru ugama di peringkat nasional. Untuk memartabatkan GPI, kita semua perlu bersatu dan berpadu. Kesatuan adalah simbol tempat guru ugama bersatu. Tetapi jika kita berfikiran negatif terhadap perjuangan kesatuan, kita sukar untuk bergerak. Kita perlu sedar tidak semua yang suka menyertai organisasi kerana sebahagian mereka pasti akan berkata, kalau tak masuk pun, aku akan dapat seperti mana kawan-kawan lain dapat. Memang betul, pemain bola yang bermain di atas padang dan menang pasti akan merasai nikmat kemenangan berbanding dengan mereka yang hanya menjadi pemain simpanan. Apatah lagi yang hanya menjadi penyokong dalam stadium, jauh lagi mereka yang berada di luar stadium tidak akan mengetahui perit jerit perjuangan. Nabi SAW tidak dapat menyebarkan Islam sehingga tersebarnya ke seluruh pelusuk dunia jika hanya berpeluk tubuh dan berdoa tetapi baginda berusaha, berjihad, berdoa dan bertawakkal. Akhirnya segala halangan, rintangan, ujian dan cubaan dapat direntasi dengan penuh kegemilangan.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita sedar, perjuangan mesti digerakkan secara bersama, berorganisasi dan bersistem. Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung sehingga apa yang berlaku di luar tidak diendahkan. Ayuhlah sahabat-sahabatku, mari kita sama-sama perjuangkan nasib kita kerana tiada siapa yang akan memperjuangkannya melainkan diri kita sendiri. Sertailah kesatuan ini, kemukakan idea, kritikan, komen demi memartabatkan Guru Ugama di bumi Malaysia yang tercinta.