Wednesday 27 June 2012

Mesyuarat Kesatuan Bersama Pengarah


26 Jun- Mesyuarat Kesatuan-Kesatuan Pendidikan Negeri Kedah bersama  Pengarah Pelajaran telah berlangsung dengan jayanya semalam. Mesyuarat yang memakan masa hampir tiga jam itu telah membincangkan pelbagai isu pendidikan khususnya di negeri Kedah. Tuan Pengarah dalam ucapan aluannya amat berharap semua kesatuan pendidikan di negeri ini dapat bersama-sama membantu JPN untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang akademik. Dalam mesyuarat yang turut dihadiri oleh Tuan Timbalan Pengarah, semua Ketua sektor dan wakilnya telah mendengar pelbagai isu dan cadangan yang dibawa oleh wakil kesatuan. Antara isu yang dibawa ialah isu penstrukturan semula PPD, isu perlantikan Guru Besar, isu kekurangan pembantu makmal, isu pengisian data online yang semakin banyak, isu potongan cukai daripada gaji, isu guru j-QAF, data HRMIS, Pra Sekolah dan masalah perlantikan guru ganti. Alhamdulillah hasil maklum balas yang dikemukakan, Tuan Pengarah amat bersifat positif terhadap semua isu yang dibangkitkan. Isu yang boleh diselesaikan di peringkat JPN akan diselesaikan di JPN tetapi bagi isu tertentu, ianya akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. Semoga kerjasama antara kesatuan dengan pihak JPN akan berterusan dan berkekalan penuh harmoni demi kecemerlangan pendidikan Malaysia

Tuesday 19 June 2012

Mesyuarat Pra MBJ


19 Jun 2012- Alhamdulillah, wakil KKGUMB sempat menghadiri Mesyuarat pra MBJ di Pendang, semalam. KKGUMB diwakili oleh pengerusi dan bendahari. Lebih daripada 10 kesatuan lain hadir dalam mesyuarat berkenaan. Banyak isu-isu pendidikan yang telah dibincangkan dan isu yang sesuai akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi. KKGUMB membawa beberapa isu untuk diketengahkan antaranya isu perlantikan guru GPI ke DG41, isu pengisian data, isu penempatan guru j-QAF dan isu  pengisian post guru besar. Insya Allah, selepas ini akan dibawa isu-isu yang baru pula. Dalam hal ini, KKGUMB amat mengharapkan bantuan ahli untuk menyampaikan isu yang relevan dengan perjuangan kesatuan ini.

Friday 15 June 2012

Kenderaanku Besar Tapi Sayang CCnya Kecil!!!


Assalamualaikum! Kepada semua Tuan-Tuan Guru, Guru-Guru P.Islam, Guru-Guru Bahasa Arab, Guru-Guru j-QAF, Guru-Guru KAFA dan semua rakan guru-guru ugama sekelian. 
Pertama sekali, saya memohon maaf kerana mengambil masa tuan/puan dan saudara/ri yang membaca tulisan ini sama ada melalui FB atau blog. Sesungguhnya saya ini hanyalah manusia biasa yang amat mengharapkan keredhaan Ilahi dalam mencapai kebahagiaan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Tiada apa yang ingin saya luahkan melainkan hanya untuk menyedarkan diri saya bahawa kita tidak boleh hidup berseorangan. Sebaliknya kita sentiasa saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Seorang guru perlu ada murid untuk mengajar, begitu jugalah seorang murid memerlukan guru untuk menuntut ilmu. Kehidupan seharian kita juga sedemikian rupa, sama ada kita ke pasar, bekerja di pejabat, melakukan aktiviti luaran dan sebagainya, kita sentiasa mengharapkan pihak yang lain tidak kiralah pihak tersebut adalah seorang manusia atau alamiah. Pendek kata, kita mesti mengharapkan pihak lain untuk memastikan aktiviti harian kita dilangsungkan. 

Kita juga amat berkeyakinan bahawa kita meletakkan pengharapan kepada Allah dalam setiap urusan yang kita laksanakan. Dalam melaksanakan sesuatu urusan, azam, usaha, berdoa dan tawakkal adalah tunjang kepada kejayaan sesuatu urusan tersebut. Sebaliknya, jika kita hanya berdoa tanpa berusaha sudah pastilah kejayaan yang ditunggu tidak akan tiba. Bagi mereka yang mempunyai aqidah yang mantap, keyakinan yang tinggi terhadap qada' dan qadar adalah petanda kuatnya iman seseorang kepada Allah SWT. Konsep qada' dan qadar mengajar kita, setiap  perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah Taala melalui -ilmuNya. Hanya ianya terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya yang lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat kepadaNya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.  

Usaha adalah satu bentuk ikhtiar, tindakan dan perbuatan yang boleh dilakukan oleh setiap manusia selama mana ianya tidak bertentangan dengan syariat Allah. Dalam konteks berpersatuan, organisasi yang tersusun dan sistematik adalah satu proses ke arah melaksanakan satu tindakan. Tanpa sebuah organisasi yang mantap dan kemas, sesebuah kesatuan atau persatuan tidak akan bergerak dan tidak akan mencapai matlamatnya. Justeru, pembentukan organisasi yang mantap dan berkesan perlu dibina agar sesebuah persatuan dapat melakukan tindakan dan ikhtiar bersesuaian dengan kehendak organisasi. Organisasi yang mantap perlu didokong oleh ahli yang pro aktif,  berfikiran positif dan berwawasan. Sesebuah organisasi akan memacu dengan lebih laju sekiranya mempunyai ahli yang ramai. Sebuah organisasi yang ramai adalah ibarat sebuah kereta yang mempunyai enjin atau cc yang lebih besar dan berkelajuan tinggi. Sebaliknya organisasi yang mempunyai ahli yang sedikit hanya akan menyebabkan ia akan tertinggal jauh sama seperti kenderaan kecil yang mempunyai cc kecil dan tidak berdaya saing di atas jalan raya.

Demikianlah yang terjadi kepada kesatuan guru ugama yang sama-sama kita dukungi pada hari ini. Kita mempunyai kenderaan yang besar tetapi sayangnya cc kita kecil. Bayangkan sebuah lori yang besar tetapi hanya mempunyai 600 cc sahaja, bagaimanakah pergerakannya? Guru ugama di Malaysia lebih 40,000 atau mewakili lebih 10% daripada jumlah keseluruhan guru di Malaysia. Jika dilihat dari sudut bilangan, sepatutnya, guru-guru ugama adalah peneraju kepada guru-guru yang lain. Tetapi ke mana perginya guru-guru ugama? Apakah guru-guru ugama tidak suka hidup  bermasyarakat? Apakah guru-guru ugama lebih suka berkhilwah? Apakah guru-guru ugama tidak suka mengambil pusing mengenai isu ummah? Sebenarnya tidak, guru ugamalah yang sentiasa berada di saf hadapan dalam masyarakat. Merekalah menjadi imam, merekalah yang menjadi khatib, merekalah yang menjadi contoh masyarakat. Kalau dilihat dalam konteks sekolah, merekalah yang mengajar P.Islam, mereka juga boleh mengajar BM, BI atau Math. Mereka juga melatih murid tilawah, hafazan, syarahan dan mereka jugalah melatih murid bermain bola sepak, bola jaring dan bersukan. Ringkasnya guru ugama adalah role model kepada guru lain kerana guru lain tidak boleh mengajar PI dan guru lain juga tidak boleh melatih aktiviti keagamaan.

Hakikatnya, guru ugama adalah seorang penjawat awam yang amat berpotensi untuk menjadi pentadbir, pengurus atau apa-apa sahaja tanggungjawab penting dalam sesebuah organisasi. Tetapi sayangnya berapa ramai dalam kalangan guru ugama yang menjawat jawatan penting. Dengan bilangan yang amat besar berbanding opsyen lain, tidak sampai 1% dalam kalangan guru ugama yang memegang jawatan penting. Itu pun di kebanyakan sekolah ugama. Ke mana pergi yang lainnya. Oleh kerana kita mempunyai kenderaan yang besar tetapi cc yang kecillah menyebabkan guru ugama hanya menjadi pengikut dan penurut. Isu GPI, j-QAf dan sebagainya, jika dibawa oleh pihak kesatuan hanya ditertawakan oleh pihak lain. Tanya mereka, berapa you punya cc? Kah!Kah!Kah!, mereka tertawa kerana kita malu nak menjawab. CC mereka besar sedangkan kenderaan mereka kecil. Mereka pantas bergerak. Kenderaan mereka sudah sampai di Putrajaya, kenderaan kita baru tiba di Sungai Petani. Agak-agaknya bilakah kita akan sampai. Semua tuntutan mereka telah dipenuhi, guru ugama? Kata guru ugama, semua itu adalah duniawi. Tetapi sedarkah kita, dunia itu jambatan akhirat. Usaha kita di dunia ini perlu diseimbangkan dengan usaha kita merebut kebahagiaan di akhirat. Hari-hari kita berdoa memohon kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kebahagiaan, kejayaan dan kemenangan tidak datang dengan sendiri sebaliknya perlu diusaha, dicari dan disusuli dengan tindakan. 

Namun sedihnya, guru ugama masih terus bersifat pasif dalam usaha memartabatkan guru ugama di peringkat nasional. Untuk memartabatkan GPI, kita semua perlu bersatu dan berpadu. Kesatuan adalah simbol tempat guru ugama bersatu. Tetapi jika kita berfikiran negatif terhadap perjuangan kesatuan, kita sukar untuk bergerak. Kita perlu sedar tidak semua yang suka menyertai organisasi kerana sebahagian mereka pasti akan berkata, kalau tak masuk pun, aku akan dapat seperti mana kawan-kawan lain dapat. Memang betul, pemain bola yang bermain di atas padang dan menang pasti akan merasai nikmat kemenangan berbanding dengan mereka yang hanya menjadi pemain simpanan. Apatah lagi yang hanya menjadi penyokong dalam stadium, jauh lagi mereka yang berada di luar stadium tidak akan mengetahui perit jerit perjuangan. Nabi SAW tidak dapat menyebarkan Islam sehingga tersebarnya ke seluruh pelusuk dunia jika hanya berpeluk tubuh dan berdoa tetapi baginda berusaha, berjihad, berdoa dan bertawakkal. Akhirnya segala halangan, rintangan, ujian dan cubaan dapat direntasi dengan penuh kegemilangan.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita sedar, perjuangan mesti digerakkan secara bersama, berorganisasi dan bersistem. Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung sehingga apa yang berlaku di luar tidak diendahkan. Ayuhlah sahabat-sahabatku, mari kita sama-sama perjuangkan nasib kita kerana tiada siapa yang akan memperjuangkannya melainkan diri kita sendiri. Sertailah kesatuan ini, kemukakan idea, kritikan, komen demi memartabatkan Guru Ugama di bumi Malaysia yang tercinta.

Monday 11 June 2012

Kaedah Belajar Al-Quran


Apa pandangan Guru PI dan j-QAF mengenai cadangan ini? Apakah benar ia berkesan? Jika benar, bolehlah bertanya kepada kekawan di Terengganu? Jika ianya berkesan, mengapa tidak disebarkan ke seluruh negara? Apakah negeri lain mempunyai pendekatan yang lebih berkesan?

Sunday 10 June 2012

Isu di SABK!!!

                                                  Keratan daripada akhbar Harian Metro (11 Jun 2012)

Isu di SABK????? Siapa perlu memainkan peranan? Memang banyak isu di SABK, harap guru SABK dapat menyalurkan masalah kepada pihak yang mampu membantu.

TN HJ MALEK-SIFU KKGUMB

                                           Tn Hj Malek b. Hassan (Sifu KKGUMB Negeri Kedah)

Tn Hj Malek (Presiden KKGUMB Malaysia) bersama Hj Rushdan selepas Mesyuarat Agung Cawangan Kedah di Pendang Lake Resort.



Nama Tuan Hj Malek b. Hasan adalah nama yang amat dikenali ramai oleh sebahagian besar warga guru ugama di negeri Kedah khususnya dan Malaysia amnya. Mana tidaknya beliau adalah 'PEJUANG SEJATI' dalam Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Ugama Malaysia Barat sejak 25 tahun lalu. Perjuangan beliau adalah untuk guru ugama seluruhnya. Masa, tenaga dan wang ringgitnya habis dicurahkan untuk kesatuan. Idea dan corak perjuangan beliau amat dikagumi dan dihormati oleh semua pihak. Bagi guru-guru ugama di negeri Kedah, Us Malek adalah ikon dalam perjuangan untuk memartabatkan guru-guru ugama dan P.Islam. Jasa beliau dalam menyelesaikan ratusan isu P.Islam dan guru ugama pasti tidak boleh dilupakan. Buat masa ini, Tuan Hj Malej masih meneruskan perjuangannnya di perikat nasional. Beliau adalah Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Ugama Malaysia Barat dan Bendahari Kongres Kesatuan Guru. Sesungguhnya perjuangan Tn Hj Malek amat hebat dan besar ertinya buat guru-guru di negeri Kedah. KKGUMB Negeri Kedah masih dahagakan idea dan pandangan beliau. Buat Tuan Hj Malek, pihak KKGUMB Kedah mengucapkan selamat berjaya dalam semua perjuangan dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan setelah memimpin kesatuan ini di negeri Kedah lebih 10 tahun dengan begitu cemerlang.

Saturday 9 June 2012

Mesyuarat Agung KKGUMB Kedah ke 37 Berjalan Lancar

9 Jun 2012- Mesyuarat Agung KKGUMB Cawangan Kedah kali ke 37 berlangsung dengan lancarnya di Pendang Lake Resort. Lebih 100 orang ahli KKGUMB Kedah hadir dan sama-sama memberi dan mendapat 'input' terkini mengenai perkembangan kesatuan dan P.Islam. Mesyuarat kali ini dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Hj Muhammad Zahidi b. Arifin, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, JPN Kedah. Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menasihatkan semua ahli agar memberi komitmen yang sepenuhnya terhadap agenda memperkasakan P.Islam dan memartabatkan Guru-Guru Ugama. Beliau juga amat berharap agar kesatuan dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu pihak SPI dan BPI menyelesaikan isu-isu P.Islam/B.Arab/j-QAF/SABK. Selain itu, pelbagai usul telah dikemukakan oleh ahli yang hadir demi memantapkan agenda kesatuan. Antaranya ialah usul komunikasi agar kesatuan mengaktifkan media maya demi melangsungkan perhubungan antara ahli dan kepimpinan kestuan. Turut diusulkan ialah isu kenaikan pangkat DG 38 ke DG 40, program semasa untuk ahli di negeri Kedah, isu kebajikan ahli, penerbitan buletin, isu guru j-QAF dan banyak lagi.
Mesyuarat Agung kali ini juga telah menyaksikan pertandingan untuk pemilihan AJK yang baru bagi sessi 2012-2014 dan menyaksikan beberapa perubahan telah berlaku seperti yang telah dimaklumkan dalam info sebelum ini. Walaupun ada pertandingan, namun ianya berjalan dengan penuh muhibbah dan rasa kekeluargaan. Masing-masing melahirkan rasa cinta dan sayang kepada KKGUMB dan berazam untuk meneruskan perjuangan generasi terdahulu yang telah mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi keselesaan generasi mendatang.

AJK KKGUMB KEDAH 2012-2014



Dari kiri (duduk): Us Md Isa Hamid, Us Abd Mutalib, Hj Rushdan, Hj Malek Hasan (Presiden KKGUMB Kebangsaan), Hj Zulkifli, Us Burhanurdin, Us Napisah.


Dari kiri (berdiri) : Us Jamal Nasir, Us Jamal Husin, Us Abd Somat, Hj Haris, Hj Ayob, Us Md Isa Ali, Us Shofiah. 


10 Jun 2012- Tahniah diucapkan kepada semua AJK KKGUMB Cawangan Kedah sessi 2012-2014 yang telah dipilih dalam Mesyuarat Agung KKGUMB Kedah Kali ke-37 kelmarin (9 Jun 2012). Berikut adalah senarai AJK baru yang telah dipilih dan diamanahkan untuk memimpim mencemerlangkan KKGUMB Kedah:

Pengerusi : Hj Mohamad Rushdan b. hj Azizan
Timbalan Pengerusi : Hj Zulkifli  bin Ghozali
Setiausaha : Us Abd Mutalib b. Saad
Penolong Setiausaha : Us Md Isa b. Hamid
Bendahari : Hj Ayob b. Saman

AJK:
Ust. Napisah bt hj Salleh
Us Burhanurdin b. Hasan
Us Jamal Abdul Nasir b. Abd Rahman
Ust Shopiah bt Mat Isa
Us Md Isa b. Md Ali
Us. Abd Somat b Md Don
Us Jamal b Dato' Husin
Hj Haris b. Ibrahim

Semoga semua AJK dapat berperanan dan melaksanakan tugas dengan cemerlang demi memartabatkan Guru Ugama dan Pendidikan Islam/j-QAF/B.Arab di negeri Kedah Darul Aman.

AHLAN WA SAHLAN!

ASSALAMUALAIKUM! BLOG KKGUMB ADALAH MEDAN UNTUK MENYEBARKAN INFORMASI DAN BERITA MENGENAI PERKEMBANGAN SEMASA GURU-GURU UGAMA(PENDIDIKAN ISLAM), BAHASA ARAB, j-QAF DAN ISU-ISU PENDIDIKAN ISLAM/j-QAF SERTA BAHASA ARAB.