Friday 15 June 2012

Kenderaanku Besar Tapi Sayang CCnya Kecil!!!


Assalamualaikum! Kepada semua Tuan-Tuan Guru, Guru-Guru P.Islam, Guru-Guru Bahasa Arab, Guru-Guru j-QAF, Guru-Guru KAFA dan semua rakan guru-guru ugama sekelian. 
Pertama sekali, saya memohon maaf kerana mengambil masa tuan/puan dan saudara/ri yang membaca tulisan ini sama ada melalui FB atau blog. Sesungguhnya saya ini hanyalah manusia biasa yang amat mengharapkan keredhaan Ilahi dalam mencapai kebahagiaan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Tiada apa yang ingin saya luahkan melainkan hanya untuk menyedarkan diri saya bahawa kita tidak boleh hidup berseorangan. Sebaliknya kita sentiasa saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Seorang guru perlu ada murid untuk mengajar, begitu jugalah seorang murid memerlukan guru untuk menuntut ilmu. Kehidupan seharian kita juga sedemikian rupa, sama ada kita ke pasar, bekerja di pejabat, melakukan aktiviti luaran dan sebagainya, kita sentiasa mengharapkan pihak yang lain tidak kiralah pihak tersebut adalah seorang manusia atau alamiah. Pendek kata, kita mesti mengharapkan pihak lain untuk memastikan aktiviti harian kita dilangsungkan. 

Kita juga amat berkeyakinan bahawa kita meletakkan pengharapan kepada Allah dalam setiap urusan yang kita laksanakan. Dalam melaksanakan sesuatu urusan, azam, usaha, berdoa dan tawakkal adalah tunjang kepada kejayaan sesuatu urusan tersebut. Sebaliknya, jika kita hanya berdoa tanpa berusaha sudah pastilah kejayaan yang ditunggu tidak akan tiba. Bagi mereka yang mempunyai aqidah yang mantap, keyakinan yang tinggi terhadap qada' dan qadar adalah petanda kuatnya iman seseorang kepada Allah SWT. Konsep qada' dan qadar mengajar kita, setiap  perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah Taala melalui -ilmuNya. Hanya ianya terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya yang lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat kepadaNya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.  

Usaha adalah satu bentuk ikhtiar, tindakan dan perbuatan yang boleh dilakukan oleh setiap manusia selama mana ianya tidak bertentangan dengan syariat Allah. Dalam konteks berpersatuan, organisasi yang tersusun dan sistematik adalah satu proses ke arah melaksanakan satu tindakan. Tanpa sebuah organisasi yang mantap dan kemas, sesebuah kesatuan atau persatuan tidak akan bergerak dan tidak akan mencapai matlamatnya. Justeru, pembentukan organisasi yang mantap dan berkesan perlu dibina agar sesebuah persatuan dapat melakukan tindakan dan ikhtiar bersesuaian dengan kehendak organisasi. Organisasi yang mantap perlu didokong oleh ahli yang pro aktif,  berfikiran positif dan berwawasan. Sesebuah organisasi akan memacu dengan lebih laju sekiranya mempunyai ahli yang ramai. Sebuah organisasi yang ramai adalah ibarat sebuah kereta yang mempunyai enjin atau cc yang lebih besar dan berkelajuan tinggi. Sebaliknya organisasi yang mempunyai ahli yang sedikit hanya akan menyebabkan ia akan tertinggal jauh sama seperti kenderaan kecil yang mempunyai cc kecil dan tidak berdaya saing di atas jalan raya.

Demikianlah yang terjadi kepada kesatuan guru ugama yang sama-sama kita dukungi pada hari ini. Kita mempunyai kenderaan yang besar tetapi sayangnya cc kita kecil. Bayangkan sebuah lori yang besar tetapi hanya mempunyai 600 cc sahaja, bagaimanakah pergerakannya? Guru ugama di Malaysia lebih 40,000 atau mewakili lebih 10% daripada jumlah keseluruhan guru di Malaysia. Jika dilihat dari sudut bilangan, sepatutnya, guru-guru ugama adalah peneraju kepada guru-guru yang lain. Tetapi ke mana perginya guru-guru ugama? Apakah guru-guru ugama tidak suka hidup  bermasyarakat? Apakah guru-guru ugama lebih suka berkhilwah? Apakah guru-guru ugama tidak suka mengambil pusing mengenai isu ummah? Sebenarnya tidak, guru ugamalah yang sentiasa berada di saf hadapan dalam masyarakat. Merekalah menjadi imam, merekalah yang menjadi khatib, merekalah yang menjadi contoh masyarakat. Kalau dilihat dalam konteks sekolah, merekalah yang mengajar P.Islam, mereka juga boleh mengajar BM, BI atau Math. Mereka juga melatih murid tilawah, hafazan, syarahan dan mereka jugalah melatih murid bermain bola sepak, bola jaring dan bersukan. Ringkasnya guru ugama adalah role model kepada guru lain kerana guru lain tidak boleh mengajar PI dan guru lain juga tidak boleh melatih aktiviti keagamaan.

Hakikatnya, guru ugama adalah seorang penjawat awam yang amat berpotensi untuk menjadi pentadbir, pengurus atau apa-apa sahaja tanggungjawab penting dalam sesebuah organisasi. Tetapi sayangnya berapa ramai dalam kalangan guru ugama yang menjawat jawatan penting. Dengan bilangan yang amat besar berbanding opsyen lain, tidak sampai 1% dalam kalangan guru ugama yang memegang jawatan penting. Itu pun di kebanyakan sekolah ugama. Ke mana pergi yang lainnya. Oleh kerana kita mempunyai kenderaan yang besar tetapi cc yang kecillah menyebabkan guru ugama hanya menjadi pengikut dan penurut. Isu GPI, j-QAf dan sebagainya, jika dibawa oleh pihak kesatuan hanya ditertawakan oleh pihak lain. Tanya mereka, berapa you punya cc? Kah!Kah!Kah!, mereka tertawa kerana kita malu nak menjawab. CC mereka besar sedangkan kenderaan mereka kecil. Mereka pantas bergerak. Kenderaan mereka sudah sampai di Putrajaya, kenderaan kita baru tiba di Sungai Petani. Agak-agaknya bilakah kita akan sampai. Semua tuntutan mereka telah dipenuhi, guru ugama? Kata guru ugama, semua itu adalah duniawi. Tetapi sedarkah kita, dunia itu jambatan akhirat. Usaha kita di dunia ini perlu diseimbangkan dengan usaha kita merebut kebahagiaan di akhirat. Hari-hari kita berdoa memohon kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kebahagiaan, kejayaan dan kemenangan tidak datang dengan sendiri sebaliknya perlu diusaha, dicari dan disusuli dengan tindakan. 

Namun sedihnya, guru ugama masih terus bersifat pasif dalam usaha memartabatkan guru ugama di peringkat nasional. Untuk memartabatkan GPI, kita semua perlu bersatu dan berpadu. Kesatuan adalah simbol tempat guru ugama bersatu. Tetapi jika kita berfikiran negatif terhadap perjuangan kesatuan, kita sukar untuk bergerak. Kita perlu sedar tidak semua yang suka menyertai organisasi kerana sebahagian mereka pasti akan berkata, kalau tak masuk pun, aku akan dapat seperti mana kawan-kawan lain dapat. Memang betul, pemain bola yang bermain di atas padang dan menang pasti akan merasai nikmat kemenangan berbanding dengan mereka yang hanya menjadi pemain simpanan. Apatah lagi yang hanya menjadi penyokong dalam stadium, jauh lagi mereka yang berada di luar stadium tidak akan mengetahui perit jerit perjuangan. Nabi SAW tidak dapat menyebarkan Islam sehingga tersebarnya ke seluruh pelusuk dunia jika hanya berpeluk tubuh dan berdoa tetapi baginda berusaha, berjihad, berdoa dan bertawakkal. Akhirnya segala halangan, rintangan, ujian dan cubaan dapat direntasi dengan penuh kegemilangan.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita sedar, perjuangan mesti digerakkan secara bersama, berorganisasi dan bersistem. Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung sehingga apa yang berlaku di luar tidak diendahkan. Ayuhlah sahabat-sahabatku, mari kita sama-sama perjuangkan nasib kita kerana tiada siapa yang akan memperjuangkannya melainkan diri kita sendiri. Sertailah kesatuan ini, kemukakan idea, kritikan, komen demi memartabatkan Guru Ugama di bumi Malaysia yang tercinta.

No comments:

Post a Comment